SARIKEI: Naib Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Len Talif Salleh menyerahkan kepada parti untuk menentukan sama ada beliau akan terus mewakili kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, beliau menghormati keputusan parti dalam memilih calon, termasuk kemungkinan perubahan kepimpinan bagi memastikan perjuangan parti terus memenuhi kehendak rakyat.
“Pertukaran calon merupakan sebahagian daripada usaha Parti PBB memberi peluang kepada pemimpin baharu untuk meneruskan agenda pembangunan.
“Jika perjalanan politik saya berakhir selepas tiga penggal, saya amat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan dan menerima keputusan parti dengan hati terbuka,” katanya kepada media selepas merasmikan penutupan Program Advokasi Perundangan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Len Talif berkata, beliau masih bersedia meneruskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sekiranya mendapat mandat parti kerana beberapa projek pembangunan di Kuala Rajang masih perlu diselesaikan.
Beliau berharap kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat dikekalkan bagi memastikan kesinambungan pembangunan kawasan.
Katanya, selain itu menghargai kepercayaan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sepanjang 15 tahun beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat N.41 Kuala Rajang.
