SIBU: Pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat dibuat secara kebetulan dan bukan didorong oleh sebarang alasan khusus, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, pemilihan hari berkenaan berlaku secara kebetulan dan tidak mempunyai kaitan dengan keperluan memberikan tempoh persediaan tertentu.
“Secara kebetulan hari itu hari Jumaat, bukan ada alasan lain,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pembubaran DUN Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi di sini.
Beliau turut menegaskan bahawa pemilihan hari pengumuman bergantung pada keadaan semasa, sambil menolak tanggapan bahawa Jumaat dipilih atas sebab tertentu.
Terdahulu, Abang Johari merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
