KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memandang serius kejadian kecurian kabel yang dikesan berlaku di kawasan Jambatan Sejingkat, di sini.
Menurut kenyataan media JKR Sarawak, kejadian itu melibatkan kerosakan terhadap komponen sistem elektrikal yang boleh mengakibatkan kerugian kepada kerajaan melalui kos pembaikan dan penggantian komponen itu.
Selain itu, kejadian terbabit juga menjejaskan usaha penyediaan infrastruktur yang selamat dan berkualiti untuk rakyat.
“JKR Sarawak mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk kecurian, vandalisme dan perbuatan merosakkan kemudahan awam,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, JKR Sarawak menasihat orang awam agar sentiasa berwaspada dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terlihat sebarang aktiviti mencurigakan.
“Ini melibatkan kabel, peralatan elektrikal atau kemudahan awam di sekitar Jambatan Sejingkat,” tambahnya.
Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak menghampiri, menyentuh atau mengendalikan kabel dan peralatan elektrikal yang terdedah atau mengalami kerosakan kerana tindakan itu boleh mendatangkan risiko keselamatan.
