Royston serah keputusan pencalonan kepada pucuk pimpinan parti

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti dan pengundi akar umbi untuk menentukan kedudukannya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Dalam kenyataan di laman sesawang Facebook semalam, katanya beliau bersedia menerima apa saja keputusan kerana semua itu demi kepentingan dan masa depan Sarawak, bukannya kepentingan peribadi.

“Untuk PRN akan datang, saya menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti saya dan pengundi di peringkat akar umbi untuk menentukan kedudukan saya.

“Saya bersedia menerima apa jua keputusan, demi manfaat masa depan Sarawak dan bukan atas kepentingan diri sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Royston turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Tellian atas sokongan dan kerjasama sepanjang lima tahun perkhidmatannya.

Beliau turut memohon maaf atas segala kekurangan dan kesilapan sepanjang menjalankan amanah sebagai wakil rakyat.

“Saya akan terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat sebaik mungkin sehingga penggal berkenaan berakhir pada 26 Oktober ini,” tambahnya.