KUCHING: Kepelbagaian budaya, etnik dan agama menjadi kekuatan Sarawak dalam membentuk masyarakat harmoni serta memelihara warisan untuk generasi akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keharmonian masyarakat negeri ini terbentuk melalui penyatuan pelbagai latar belakang budaya dan kepercayaan.
“Kita mempunyai pelbagai kumpulan etnik dengan latar belakang budaya masing-masing.
“Namun, semuanya bersatu membentuk budaya dan wawasan Sarawak.
“Justeru, keharmonian terus terpelihara dalam kalangan masyarakat walaupun mempunyai perbezaan agama dan latar belakang kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian pada makan malam gala sempena Perhimpunan Agung dan Simposium Saintifik Majlis Antarabangsa Monumen dan Tapak (ICOMOS) 2026 di Hotel Riverside, di sini, malam ini.
Menurutnya, perpaduan tersebut diibaratkan seperti pertemuan pelbagai anak sungai yang akhirnya mengalir ke lautan.
Beliau berkata, keadaan itu melambangkan pembentukan identiti bersama masyarakat Sarawak meskipun mempunyai kepelbagaian budaya.
Katanya, pendekatan tersebut selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) berteraskan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memelihara warisan budaya untuk generasi akan datang.
Justeru, jelasnya, penganjuran perhimpunan ICOMOS buat pertama kali di Asia Tenggara sebagai peluang memperkenalkan keunikan warisan Sarawak kepada masyarakat antarabangsa. -NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
