KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) terus memperluaskan penglibatan mahasiswa melalui penubuhan kelab SABERKAS di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di Sarawak.
Presidennya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, antara institusi terlibat ialah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dan Kolej Universiti i-CATS.
“Penglibatan mahasiswa diharap dapat melahirkan generasi pelapis yang mampu memperkukuhkan peranan SABERKAS dalam pembangunan belia Sarawak,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SABERKAS Sarawak Ke-61 di Hotel Everly Lhesson, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, SABERKAS kini mencatatkan seramai 57,928 ahli membabitkan 82 cawangan di seluruh Sarawak.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 54,233 merupakan ahli biasa, sekali gus mencerminkan perkembangan positif pertubuhan ini,” katanya.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, sebanyak 66 program telah dilaksanakan sepanjang tempoh 1 Julai hingga 30 September lalu, merangkumi pelbagai aktiviti pembangunan belia.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 43 program dianjurkan SABERKAS sendiri, manakala 23 lagi dilaksanakan melalui kerjasama dengan pelbagai rakan strategik, jelasnya.
Dalam masa sama, ujar beliau, sebanyak 27 program melibatkan seminar, bengkel dan mesyuarat, manakala 17 lagi berkaitan sukan, rekreasi dan kebudayaan.
Selain itu, katanya, sebanyak 20 program melibatkan aktiviti sosial, keusahawanan dan kebajikan, manakala dua lagi berkaitan hal ehwal wanita.
Turut hadir, Timbalan Presiden SABERKAS Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu, Naib-naib Presiden, Datuk Michael Tiang Ming Tee, Azizul Annuar Adenan dan Royston Valentine.
Setiausaha Agung, Dr Safiee Ahmad bersama barisan -barisan exco SABERKAS lain hadir sama.– NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
