3,124 kanak-kanak Sarawak dalam kajian indeks kesejahteraan

KUCHING: Seramai 3,124 kanak-kanak terlibat dalam kajian Indeks Kesejahteraan Kanak-Kanak Sarawak bagi menilai tahap kesejahteraan mereka berdasarkan tujuh dimensi utama.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kajian itu merupakan yang pertama dilaksanakan di Sarawak dengan dapatan awal dibentangkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

“Dapatan kajian ini penting untuk mengenal pasti komuniti yang masih ketinggalan, khususnya dari segi akses perkhidmatan asas, pendidikan, kesihatan dan keselamatan kanak-kanak,” katanya dalam sidang media berkenaan Indeks Kesejahteraan Kanak-Kanak Sarawak, di sini, hari ini.

Kajian itu merangkumi tujuh dimensi, iaitu kesejahteraan ekonomi, kesihatan dan pemakanan, pendidikan dan pembangunan, kesejahteraan sosial, emosi dan budaya, hubungan keluarga dan rakan sebaya, keselamatan serta akses teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Fatimah berkata, walaupun kanak-kanak menikmati persekolahan dan mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan, pencapaian matematik, literasi dan penjagaan pencegahan masih tetap memerlukan perhatian.

“Dapatan ini membantu kita mengenal pasti jurang yang masih wujud termasuk perbezaan akses perkhidmatan asas antara kanak-kanak bandar dan luar bandar serta peluang penyertaan sosial dan akses digital,” tambahnya.

Dokumen lengkap kajian dijangka diterima pada akhir Oktober ini manakala dapatan Indeks Kesejahteraan Kanak-Kanak Sarawak akan diselitkan dalam sambutan Hari Kanak-Kanak pada 8 November depan.