KUCHING: Teka-teki mengenai senarai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN-13), termasuk kedudukan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), hanya akan terjawab selepas mesyuarat gabungan itu diadakan.
Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan muktamad mengenai pemilihan calon belum dibuat, namun gabungan itu akan mempertaruhkan calon berpengalaman dan muka baharu.
“Apa yang saya boleh ceritakan di sini ialah ia akan menjadi gabungan antara berpengalaman dengan golongan muda,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media khas pengumuman pembubaran DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai jumlah muka baharu yang bakal diketengahkan, Abang Johari yang juga Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, beliau belum dapat memberikan peratusan calon baharu yang akan bertanding pada PRN-13.
Mengulas kemungkinan penyandang tidak dicalonkan semula, beliau menjelaskan bahawa terdapat wakil rakyat yang memilih untuk berundur daripada terus bertanding.
“Bukan digugurkan, ada yang mengundur diri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebarang keputusan mengenai tema khas GPS bagi menghadapi pilihan raya kali ini hanya akan dibuat selepas mesyuarat gabungan berkenaan.
