“Saya tidak ada maklumat mesyuarat GPS esok” – Abdul Karim

KUCHING: Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah tidak dapat mengesahkan sama ada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bermesyuarat pada esok atau sebaliknya.

Ini kerana katanya, mesyuarat GPS hanya melibatkan pengerusi dan setiausaha daripada empat parti komponen gabungan tersebut.

“Saya tidak mempunyai maklumat mengenai perkara tersebut.

“Bagaimanapun, saya telah menerima arahan daripada kepimpinan parti untuk mengubah jadual Regata Sarawak esok kepada jam tiga petang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Ke-61, di Hotel Everly Lhesson di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, berkata perubahan masa itu mungkin berkaitan suatu pengumuman, namun beliau tidak dapat memberikan pengesahan lanjut.

Mengulas kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Abdul Karim yang juga Presiden SABERKAS turut menjelaskan proses pilihan raya selepas pembubaran.

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanggungjawab menetapkan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi.

“Berdasarkan trend beberapa pilihan raya negeri sebelum ini, tempoh berkempen sekitar dua minggu.

“Namun keputusan akhir tetap tertakluk kepada SPR,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim tidak menolak kemungkinan lebih ramai pemimpin muda yang pernah aktif dalam SABERKAS akan diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Beliau berkata, SABERKAS sememangnya menjadi platform pembangunan kepimpinan belia dan ramai pemimpin politik sebelum ini mempunyai latar belakang dalam pertubuhan tersebut.

Katanya, pengalaman serta pendedahan yang diperoleh melalui SABERKAS berupaya menyediakan generasi muda untuk memikul tanggungjawab kepimpinan pada masa hadapan.

Turut hadir, Timbalan Presiden SABERKAS Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu serta Naib- naib Presiden, Datuk Michael Tiang Ming Tee, Azizul Annuar Adenan dan Royston Valentine.

Setiausaha Agung SABERKAS Sarawak, Dr. Safiee Ahmad serta barisan – barisan Exco Tertinggi SABERKAS hadir sama. – NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI