Usaha menstabil harga barangan diperkukuh

PUTRAJAYA: Sabah dan Sarawak menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2027 dengan masing-masingnya berjumlah RM18.7 billion dan RM16.2 billion.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, berdasarkan dokumen Belanjawan 2027, jumlah peruntukan pukal Persekutuan bagi Sabah, Sarawak mencatatkan kenaikan berbanding tahun 2026.

“Kerajaan Persekutuan berharap Ikhtiar Menaikkan Lantai taraf hidup rakyat dalam Belanjawan 2027 dapat diterjemahkan dalam ikhtiar penstabilan harga barangan dan perkhidmatan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan Harga di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan di Bilik Persidangan ICU, Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Beliau berkata, inisiatif penstabilan harga oleh Kerajaan Persekutuan seperti Program Jualan Rahmah dan Jualan Agro Madani terus diperkukuhkan melalui Belanjawan 2027 pada tahun hadapan. Ia akan memberi manfaat lebih kepada rakyat khususnya di Sabah, Sarawak dan WP Labuan.

“Namun, kita perlu bersiap sedia dengan cabaran ekonomi global disebabkan ketidaktentuan geopolitik yang memberi impak kepada harga barangan dan perkhidmatan terutama di Sabah, Sarawak dan Labuan,” tegas beliau.

Menurut Fadillah, adalah amat wajar pelan tindakan penstabilan harga di Sabah dan Sarawak, termasuk Labuan dirangka sebagai panduan tindakan yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan persekutuan bagi kesejahteraan rakyat di ketiga-tiga wilayah berkenaan.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Bahagian Hal Ehwal Sabah Sarawak; Datuk Mustapha Sakmud, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Mojungki dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.