RTB Skim Penempatan Semula Stampin beri manfaat lebih 9,000 penduduk

KUCHING: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Skim Penempatan Semula Stampin dijangka memberi manfaat kepada lebih 9,000 penduduk di kawasan berkenaan melibatkan kira-kira 1,000 isi rumah.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, projek berkenaan penting dalam mengurangkan risiko banjir kilat yang memberi kesan kepada penduduk di kawasan penempatan yang berusia lebih 50 tahun.

Menurutnya, RTB Fasa Satu melibatkan peruntukan kira-kira RM87 juta bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf sistem saliran serta langkah mitigasi banjir di kawasan berkenaan.

Katanya, kerja-kerja saliran utama perlu disiapkan terlebih dahulu sebelum sistem saliran kecil di kawasan perumahan disambungkan bagi memastikan aliran air dapat disalurkan dengan lebih berkesan.

“Paling penting dapat mengurangkan banjir kilat. Apabila saliran utama dibesarkan dan disambungkan ke Sungai Sarawak, ia akan menyediakan lebih banyak ruang untuk air dan membantu mengurangkan risiko banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan ke Majlis Pelancaran Projek Tebatan Banjir (RTB) Skim Penempatan Semula Stampin di sini hari ini.

Dr Sim menjelaskan, projek tersebut dijangka mengambil masa kira-kira 30 bulan untuk disiapkan berikutan pelaksanaannya melibatkan kawasan yang telah mempunyai rumah, paip air, utiliti serta infrastruktur sedia ada.

Menurutnya, pendekatan berperingkat diperlukan bagi memastikan kerja-kerja pembangunan dapat dilaksanakan dengan teratur tanpa menjejaskan kemudahan penduduk secara ketara.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng.