Sarawak miliki Pusat Arkib bertaraf serantau

AYLA MEDINA
Foto: HERRIEY NAHA

KUCHING: Di sebalik deretan bangunan dan kemajuan yang mengubah wajah Sarawak, tersimpan satu amanah yang tidak boleh dinilai dengan angka sejarah tercatat pada helaian dokumen, rekod pentadbiran, perjanjian, manuskrip dan pelbagai bahan warisan negeri.

Pembinaan Bangunan Arkib Sarawak menjadi antara langkah penting Kerajaan Sarawak untuk memastikan khazanah itu tidak sekadar menjadi catatan masa lalu sebaliknya terus hidup sebagai rujukan kepada generasi yang akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap Pengarah Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli berkata pusat arkib bukan sekadar berfungsi sebagai tempat penyimpanan dokumen lama sebaliknya mempunyai nilai sejarah, pentadbiran, perundangan dan penyelidikan yang penting.

“Rekod yang dipelihara menjadi sumber rujukan rasmi bagi memahami perjalanan sesebuah negeri atau negara selain membantu memelihara warisan, identiti serta khazanah maklumat untuk kegunaan generasi akan datang,” katanya selepas Program Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa ‘Pencapaian Inisiatif Kerajaan Sarawak’ di Pustaka Negeri Sarawak.

Menyimpan Sejarah

Usaha tersebut mencerminkan kesedaran bahawa pembangunan negeri bukan hanya tentang membina masa depan, tetapi menjaga jejak yang membentuk perjalanan Sarawak.

Bangunan arkib baharu itu dirancang sebagai kemudahan moden untuk menyimpan rekod dan bahan arkib kerajaan negeri secara lebih selamat, teratur serta sistematik, sekali gus memberi ruang kepada bahan sejarah untuk terus dipelihara dalam keadaan terbaik.

Amanah Sebuah Negeri

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini berkata, projek pembinaan bangunan arkib tersebut diputuskan dua tahun lalu sebagai langkah strategik untuk memastikan dokumen penting disimpan dalam keadaan optimum dan selamat.

“Bangunan ini akan menjadi pusat simpanan dokumen bersejarah, buku dan perjanjian penting.

“Kita juga sedang bekerjasama dengan pihak Muzium London untuk mendapatkan salinan sah dokumen yang tiada dalam simpanan kita.

“Jika tiada yang asal, kita akan menyimpan salinan diperakui sah oleh pihak berkuasa British,” katanya
ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek Bangunan Arkib serta merasmikan pelancaran awal 50 Pusat Komuniti Digital (DCC) di Galeri Pustaka, Pustaka Negeri Sarawak pada 6 Oktober 2025.

Bangunan dua setengah tingkat berkeluasan 26,805 meter persegi itu juga akan menempatkan pusat latihan, ruang penyelidikan, makmal, bilik kuliah dan auditorium bagi menyokong aktiviti penyelidikan serta pendidikan berkaitan sejarah negeri.

Bukan Sekadar Kertas

Setiap dokumen yang disimpan membawa nilai tersendiri. Di dalamnya terkandung rekod tentang pentadbiran, masyarakat, perkembangan negeri dan peristiwa yang membentuk Sarawak.

Sebahagian bahan penting yang dirancang untuk ditempatkan termasuk salinan Perjanjian Malaysia 1963, dokumen kolonial serta bahan berkaitan sejarah dan warisan Sarawak.

Usaha mendapatkan salinan sah daripada institusi luar negara turut memperlihatkan kesungguhan untuk mengembalikan rekod sejarah yang berkaitan dengan negeri ini.

Teknologi Menjaga Sejarah

Pemeliharaan dokumen tidak lagi bergantung kepada rak dan ruang penyimpanan semata-mata.

Kemudahan baharu itu dilengkapi teknologi seperti Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS) bagi membantu proses penyimpanan, pengesanan dan pengambilan bahan arkib dengan lebih teratur.

Japri pula berkata, penggunaan teknologi moden bukan sahaja menjadikan pengurusan dokumen lebih efisien, malah memastikan ketelusan serta kebertanggungjawaban kerajaan melalui penyimpanan rekod awam yang sahih.

“Teknologi ini akan ditampilkan kepada peserta persidangan sebagai contoh aplikasi terkini dalam bidang pengurusan arkib, di samping menjadi platform perkongsian ilmu dengan pengamal arkib dari seluruh dunia,” katanya pada sidang media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Ogos 2025.

Bangunan arkib baharu itu direka khas untuk memastikan pemeliharaan jangka panjang bahan bersejarah dengan mengawal tahap kelembapan dan suhu bilik simpanan.

Bangunan ini akan mengawalkan kelembapan dan suhu supaya dokumen ini tidak terjejas dan saya rasa kita memiliki salah satu arkib yang canggih.

Sejarah Perlu Dijaga

Kepentingan projek ini sudah lama ditekankan dalam perancangan pembangunan arkib Sarawak. Pada 2021, Abang Johari menyifatkan kewujudan kemudahan sebegini sebagai sesuatu yang wajar bagi sebuah negeri yang mempunyai sejarah panjang.

“Memang seharusnya Sarawak memiliki arkib sebegini kerana kita memiliki sejarah yang panjang,” kata Abang Johari.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pula berkata, rekod sejarah dan dokumen rasmi bukan sahaja menjadi sumber rujukan malah berfungsi sebagai bukti penting dalam memperkukuhkan kedudukan serta tuntutan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Semua pihak terus menyokong usaha pemeliharaan rekod dan bahan arkib bagi memastikan dokumen penting Wilayah Sarawak ini dipelihara dengan baik, didigitalkan secara strategik, diurus secara profesional dan dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat.

“Arkib yang teguh akan memperkukuh pentadbiran, memperkaya penyelidikan, menyokong ketelusan dan menjadi asas kepada keadilan merentasi generasi,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Minggu Arkib Antarabangsa 2026 di Pustaka Negeri Sarawak, pada Jun 2026.

Sebuah arkib terletak pada apa yang mampu diwariskannya. Dokumen yang mungkin kelihatan lama dan tidak bernilai pada pandangan biasa sebenarnya menjadi sumber utama kepada penyelidik, pelajar, ahli akademik, penjawat awam dan masyarakat untuk memahami bagaimana Sarawak terbentuk dan berkembang.

Sebab itu pemeliharaan bahan arkib bukan kerja menyimpan semata-mata, tetapi kerja memastikan kebenaran sejarah terus mempunyai tempat.

Membawa Pulang Khazanah

Hasrat Kerajaan Sarawak turut melangkaui bahan yang sudah berada dalam simpanan negeri, usaha mendapatkan salinan sah dokumen daripada institusi luar negara membuka ruang untuk melengkapkan semula koleksi berkaitan sejarah Sarawak, termasuk bahan yang sebelum ini berada di luar negeri.

Pendekatan itu menjadikan arkib bukan sekadar tempat menyimpan apa yang ada, tetapi sebuah pusat usaha mengumpul kembali serpihan sejarah Sarawak.

Arkib Sebagai Bukti Kepentingan

Rekod turut ditekankan dalam Forum Minggu Arkib Antarabangsa 2026 yang dianjurkan Pustaka Negeri Sarawak.

Datuk Sharifah Hasidah, menyifatkan arkib sebagai sumber penting dalam memelihara fakta sejarah serta membuktikan hak rakyat dan negeri melalui rekod yang sahih, terpelihara dan boleh diakses.

“Arkib merupakan sumber penting dalam memelihara fakta sejarah dan membuktikan hak rakyat serta negeri melalui rekod yang sahih, terpelihara dan boleh diakses oleh masyarakat,” tegasnya.

Menjaga Yang Tidak Boleh Diulang

Masa boleh bergerak ke hadapan, tetapi sejarah tidak boleh diulang semula.

Dokumen yang rosak, hilang atau terputus daripada rekod asal mungkin tidak dapat digantikan dengan mudah.

Justeru, pembinaan pusat arkib menjadi satu bentuk tanggungjawab terhadap masa lalu memastikan sesuatu yang pernah berlaku mempunyai bukti, terpelihara dan sesuatu yang diwariskan tidak terputus daripada generasi seterusnya.

Teknologi Untuk Memanjangkan Hayat

Dalam masa sama, usaha pemeliharaan turut bergerak seiring dengan pendigitalan.

Pustaka Negeri Sarawak sebelum ini melaksanakan inisiatif mikrofilem dan pendigitalan dokumen bagi menukar bahan arkib kepada format yang lebih mudah diakses.

Bangunan arkib baharu pula bakal menggabungkan penyimpanan fizikal dan digital, menjadikan teknologi sebagai jambatan antara khazanah masa lalu dengan keperluan generasi masa depan.

Abang Johari berkata, pendekatan digital menjadi keutamaan untuk menjadikan pembelajaran lebih mudah diakses dan menarik terutamanya kepada segelintir masyarakat, khususnya di pedalaman yang belum boleh membaca.

Warisan Untuk Anak Sarawak

Pada akhirnya, pembinaan Pusat Arkib Sarawak bukan hanya tentang sebuah bangunan baharu.
Ia adalah lambang jiwa bakti untuk menjaga apa yang telah ditinggalkan oleh generasi terdahulu agar tidak hilang ditelan zaman.

Setiap rekod yang dipelihara adalah sebahagian daripada identiti Sarawak, setiap dokumen yang diselamatkan ialah satu amanah yang diserahkan kepada generasi berikutnya.

Dalam pembangunan yang terus melangkah pantas, Sarawak memilih untuk tidak meninggalkan sejarahnya di belakang sebaliknya membawanya bersama menuju masa depan.