Anugerah Kecemerlangan SMK Agama Igan hargai pencapaian pelajar

IGAN: Seramai 118 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Igan diraikan dalam Majlis Graduasi dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan sekolah itu di sini, semalam.

Majlis itu sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik dan usaha mereka dalam pendidikan.

Daripada jumlah itu, seramai 95 pelajar merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala 23 lagi pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi merakamkan ucapan tahniah kepada pelajar cemerlang serta penghargaan kepada guru dan ibu bapa atas bimbingan dan sokongan berterusan.

Beliau kemudian mengingatkan pelajar supaya menjadikan kejayaan yang dicapai sebagai motivasi untuk terus berusaha dan mengembangkan potensi diri.

“Jadikan kejayaan hari ini sebagai dorongan untuk melangkah lebih jauh. Teruskan berusaha dengan penuh keyakinan kerana setiap pelajar mempunyai potensi untuk mencipta kecemerlangan,” katanya semasa berucap pada majlis tersebut.

Beliau menasihat calon SPM dan STPM agar mengekalkan disiplin, fokus serta membuat persediaan rapi bagi menghadapi peperiksaan untuk mencapai keputusan membanggakan.