Perkarangan Pejabat Daerah Daro Lama dinaik taraf, siap lebih awal

DARO: Perkarangan Pejabat Daerah Daro Lama kini lebih selesa selepas projek naik taraf bernilai RM120,000 disiapkan lebih awal daripada jadual asal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, projek berkenaan dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan orang ramai berurusan dengan agensi kerajaan di lokasi itu.

Beliau berkata, kerja naik taraf bermula 6 Ogos lalu dan berjaya diselesaikan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.

Katanya, kemudahan yang diperbaharui itu diharap dapat memberikan pengalaman lebih baik kepada pengunjung.

“Penambahbaikan ini diharap memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya mereka yang datang mendapatkan perkhidmatan di jabatan dan agensi kerajaan di sini,” katanya.

Dr Safiee berkata, kemudahan awam yang selesa penting bagi memastikan urusan masyarakat berjalan lancar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) yang bertindak sebagai agensi pelaksana.