Sungai bersih sokong tenaga hijau, industri berteknologi tinggi

SIBU: Kekayaan sumber air sungai mampu memberi Sarawak kelebihan dalam membangunkan industri teknologi tinggi yang memerlukan bekalan tenaga bersih serta air untuk sistem penyejukan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keperluan itu membuka ruang kepada Sarawak berkenaan memanfaatkan sungainya bagi menyokong pembangunan industri semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan termaju.

Menurutnya, pemeliharaan sungai perlu dilihat bukan sahaja sebagai usaha menjaga alam sekitar, tetapi juga pelaburan untuk memperkukuh daya saing ekonomi Sarawak.

“Kalau Sarawak banyak sungai, kita bersihkan, kita rawat air untuk tenaga hijau serta sistem penyejukan bagi industri pembuatan berteknologi tinggi,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2 di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, air dan tenaga merupakan dua keperluan penting bagi menyokong operasi teknologi tinggi, menjadikan pengurusan sumber air sebahagian daripada usaha Sarawak membangunkan ekonomi berasaskan teknologi.

“Sungai di Sarawak menyumbang kepada penjanaan tenaga hidro, termasuk menerusi empangan Bakun dan Murum, selain terus menjadi sumber kehidupan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia perlu memperkukuh keupayaan menghasilkan teknologi sendiri bagi meningkatkan nilai ekonomi dan bergerak keluar daripada perangkap pendapatan sederhana.

“Kita tidak mencipta, kita hanya menggunakan teknologi,” katanya lagi.

Abang Johari berkata, pembangunan industri semikonduktor dan penerokaan teknologi baharu di Sarawak perlu disokong dengan modal insan yang mampu membangunkan teknologi.

Katanya, penyediaan pendidikan percuma kepada anak Sarawak merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak membina keupayaan tersebut.

Dalam sektor pertanian, Abang Johari berkata, Sarawak turut meneroka penggunaan air takungan secara kitaran bagi penanaman padi, selain menjalankan eksperimen padi saka yang boleh mengeluarkan tunas baharu selepas dituai.

Beliau berkata, pendekatan menggunakan teknologi dalam pengurusan air dan pertanian itu bertujuan memperkukuh keterjaminan makanan.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing, Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), Dato’ Sri Mad Zaidi Mohd Karli, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Air) Kementerian PETRA, Dato’ Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Datuk Ir. Mohamad Radzi Abdul Talib, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, Datu Ir. Ahmad Denny Ahmad Fauzi serta yang lain.