SIBU: Sebanyak RM7.4 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan 46 projek berkaitan air di Sarawak di bawah Rancangan Boleh Pinda Satu (RP1), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, peruntukan itu merangkumi 33 projek sambungan dan 13 projek baharu.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM5.8 bilion merupakan projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), termasuk tebatan banjir, pemuliharaan sungai dan pemuliharaan hakisan pantai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, PETRA melalui JPS turut melaksanakan Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi Lembangan Batang Rajang yang dijangka siap pada Ogos 2027.
“Kajian ini diharap dapat menyediakan pelan tindakan bagi membantu Kerajaan Sarawak merancang pengurusan sungai secara lebih bersepadu, sistematik dan berterusan, selain mengurangkan risiko banjir serta memelihara sumber air,” tambahnya.
Fadillah berkata, kejayaan pengurusan sungai memerlukan kerjasama kerajaan, agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati dalam jangka masa panjang.
