KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri mengalu-alukan kemungkinan pertambahan calon wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen P.193 Santubong berkata, senarai calon sebenar masih belum dapat dipastikan sehingga menjelang hari penamaan calon kerana perubahan boleh berlaku pada saat-saat akhir.
“Saya ada mendengar mengenai kemungkinan pertambahan calon wanita.
“Tetapi kita masih belum mengetahui siapa yang akan dipilih.
“Kadang-kadang, sehari sebelum penamaan calon pun masih boleh berlaku perubahan,” katanya.
Nancy turut menyambut baik kemungkinan penyertaan muka baharu serta menghormati keputusan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menentukan calon masing-masing.
Beliau berharap calon yang dipilih merupakan individu berwibawa dan mampu meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Ini penting dan perlu seiring dengan kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Pelbagai pencapaian pembangunan Sarawak telah dapat dibuktikan beliau dan menjadi asas penting untuk meneruskan kemajuan negeri,”ujarnya.
Justeru, beliau menegaskan tumpuan utama perlu diberikan kepada usaha mempertingkatkan pembangunan Sarawak demi kesejahteraan rakyat.- NORAIDA ABDUL KASSIM/ JIWA BAKTI
