KUCHING: Sebanyak RM1.146 juta geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan kepada 82 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok bagi tahun 2026.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N8 Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata, penyerahan diselesaikan pada hari ini bagi memastikan semua penerima mendapat peruntukan berkenaan.
“Jumlah keseluruhan ialah RM1.146 juta untuk 82 penerima.
“Kebanyakan melibatkan sekolah, masjid, surau, persatuan, badan kebajikan dan kelab di seluruh kawasan Satok,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok di Pusat Khidmat DUN N8 Satok, di sini, hari ini.
Katanya, dana itu bertujuan membantu penerima mengurus keperluan organisasi serta melaksanakan aktiviti masing-masing khususnya dalam sektor pendidikan dan kebajikan.
Antara penerima ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang yang menerima RM100,000 bagi kerja pembaikan sekolah termasuk bilik darjah dan keperluan peralatan.
“Sekolah Chung Hua No.4 menerima RM60,000 sebagai persediaan menganjurkan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Peruntukan awal ini penting kerana persiapan program melibatkan peralatan dan keperluan saintifik,” tambahnya.
Ibrahim berkata, penyerahan dana diselesaikan mengikut perancangan awal susulan pembubaran DUN dengan semua 82 penerima menerima peruntukan pada hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa agihan berkenaan merupakan penyerahan terakhir bagi tahun ini manakala bantuan seterusnya bergantung pada peruntukan dan kelulusan yang diterima.
