Kerajaan peruntuk RM9 juta subsidi mamogram 2027

KUCHING: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM9 juta bagi Program Subsidi Ujian Mamogram pada 2027 yang menyasarkan 38,000 wanita layak di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, inisiatif itu bertujuan memperluaskan akses pemeriksaan kesihatan bagi menggalakkan pengesanan awal kanser payudara.

“Kita berharap menerusi inisiatif ini lebih banyak wanita akan menjalani ujian saringan awal kanser payudara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Menurutnya, sehingga 30 September lalu, seramai 598,919 wanita di seluruh negara menerima manfaat.

Katanya, ia melalui Program Subsidi Ujian Mamogram Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Di Sarawak, seramai 90,075 wanita menjalani saringan melalui program berkenaan dengan 88 orang didapati positif kanser,” jelasnya.

Nancy berkata, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 menunjukkan 71 peratus wanita berusia 40 tahun ke atas tidak pernah menjalani mamogram.

Manakala, ujarnya, 46 peratus tidak mengamalkan pemeriksaan kendiri payudara.

Sehubungan itu, jelasnya, kementerian melalui LPPKN terus memperluaskan akses saringan termasuk kerjasama dengan sembilan pusat mamogram berdaftar di Sarawak.

Beliau turut memaklumkan Pusat Keluarga Bergerak LPPKN akan ditambah baik melalui pembekalan bas baharu bulan depan bagi meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan reproduktif kepada wanita luar bandar.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan wanita menjalani pemeriksaan berkala dan memanfaatkan perkhidmatan saringan yang turut disediakan di Klinik Nur Sejahtera LPPKN di Kuching, Sibu dan Miri.