DEBAK: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh industri sagu dan nipah menerusi pembangunan dua pusat pemprosesan bernilai RM8.5 juta serta penyaluran bantuan input pertanian kepada pekebun kecil di Saribas.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata langkah itu bertujuan meningkatkan produktiviti, kecekapan pengeluaran dan pendapatan pengusaha tempatan.
Menurut beliau, penggunaan teknologi moden dan kemudahan pemprosesan yang lebih baik penting bagi melonjakkan daya saing produk berasaskan sagu dan nipah.
Katanya, seramai 61 penerima menerima manfaat Fasa Pertama Program Pemulihan dan Pemerkasaan Pekebun Kecil Sagu serta Program Peningkatan Produktiviti Pekebun Kecil Nipah bagi Kelestarian Bekalan Nira di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Kerajaan komited membantu pengusaha meningkatkan hasil dan memperkukuh rantaian bekalan industri ini,” katanya pada majlis agihan bantuan di Dewan Kampung Dit, semalam.
Daripada jumlah tersebut, 39 pekebun kecil sagu menerima baja Fertara manakala 22 pengusaha nipah dibekalkan peralatan menuak bagi meningkatkan kecekapan pengumpulan nira.
Dalam perkembangan sama, Lembaga Sagu dan Nipah (SNDB) merancang membangunkan Pusat Pemprosesan Sagu di Kampung Dit, Debak dengan kos RM6 juta.
Sebuah lagi projek melibatkan Pusat Pemprosesan Gula Apong di Kampung Buda, Spaoh bernilai RM2.5 juta akan dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Dr Mohammad Razi yang juga ADUN Saribas yakin kemudahan baharu itu mampu meningkatkan kapasiti pemprosesan, menghasilkan produk bernilai tambah dan merancakkan ekonomi komuniti setempat melalui kerjasama dalam pengeluaran, kawalan kualiti serta pemasaran.
