Program Jelajah Kasih Srikandi platform dekati rakyat

LINGGA: Program Jelajah Kasih Srikandi Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Lingga di Rumah Harry, Semayang Ban berlangsung dalam suasana kemesraan dan semangat kekeluargaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, program tersebut menjadi platform penting untuk mendekati masyarakat serta memperkukuh hubungan antara pemimpin dan komuniti.

Menurut beliau, program itu turut disertai Srikandi Parti PBB, Pergerakan Wanita DUN Lingga serta Biro Kemasyarakatan dan Sosial Wanita yang bersama-sama menyantuni penduduk di kawasan berkenaan.

Katanya, pelbagai aktiviti diadakan bagi mengeratkan silaturahim selain memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk.

Program bertambah meriah dengan penganjuran aktiviti sukaneka yang mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta, khususnya golongan wanita.

Selain itu, sesi senamrobik yang diadakan pada awal pagi turut menceriakan suasana dengan penyertaan aktif ibu-ibu yang menunjukkan semangat kesukanan dan keceriaan yang tinggi.

Dayang Noorazah merakamkan penghargaan kepada Pasukan Kelab Senamrobik Sri Aman yang telah mengetuai aktiviti senamrobik dengan penuh semangat sekali gus menyuntik kemeriahan program tersebut.

Beliau berharap semangat kebersamaan dan keprihatinan yang terjalin menerusi program itu akan terus diperkukuh selaras dengan slogan “Nadai Kami Lupak Kitak”, demi kesejahteraan dan perpaduan masyarakat di kawasan DUN Lingga.