Pembelajaran al-Quran perlu diteruskan sepanjang hayat

SARATOK: Seramai 66 peserta berjaya menamatkan Kursus Miftahul Quran anjuran KEMAS Saratok Tahun 2026 yang memberi fokus kepada pemantapan bacaan al-Quran, asas tajwid dan penghayatan Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata al-Quran perlu dijadikan panduan hidup yang dipelajari dan diamalkan secara berterusan oleh setiap umat Islam.

“Pembelajaran al-Quran tidak seharusnya terhad kepada golongan muda, sebaliknya perlu diteruskan oleh orang dewasa serta warga emas sepanjang hayat.

“Program Miftahul Quran ini menjadi platform penting untuk membantu peserta memperbaiki bacaan, menguasai tajwid dan meningkatkan keyakinan membaca kalam Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Kursus Miftahul Quran KEMAS Saratok Tahun 2026 di Masjid Al Muhtadin Saratok, semalam.

Peserta kursus terdiri daripada kariah Masjid Al Muhtadin Saratok, Surau Darul Muafiqin Taman Seroja Indah dan Masjid Ar Rahim, Kampung Gerigat A serta B.

Mohamad Duri berkata, penganjuran program berkenaan membuktikan pembangunan masyarakat bukan hanya tertumpu kepada aspek ekonomi dan kemahiran, malah turut memberi perhatian terhadap pembinaan rohani.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KEMAS Saratok, tenaga pengajar dan pendidik masyarakat yang komited menyebarkan ilmu al-Quran kepada komuniti.