TANJUNG MANIS: Perpaduan masyarakat berbilang kaum menjadi asas pembangunan Sarawak yang terus berkembang menerusi semangat saling membantu dan persefahaman sejak sekian lama.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kepimpinan stabil Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, membolehkan agenda pembangunan negeri dilaksanakan secara berterusan.
Beliau berkata, kemajuan yang dicapai ketika ini adalah hasil usaha bersama masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum, selain kesediaan setiap pihak menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Kita perlu terus memelihara hubungan baik dan tidak membiarkan perbezaan politik, agama serta kaum menjejaskan perpaduan, terutama ketika menghadapi pilihan raya nanti (PRN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Spun Pile & Pole Factory PMW International Berhad di sini, hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak akan terus mengutamakan pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat, pembangunan inklusif serta penjagaan alam sekitar bagi memastikan hasil pembangunan dinikmati semua lapisan masyarakat.
“Sehubungan itu, saya menggesa rakyat mempertahankan keharmonian dan memperkukuh semangat kebersamaan, selain menyokong kesinambungan agenda pembangunan Kerajaan GPS demi masa depan Sarawak yang lebih baik,” katanya.
