KUCHING: Kerajaan Sarawak mempunyai cadangan pelaburan bagi pembangunan pusat data pintar yang melibatkan syarikat antarabangsa terkemuka.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan tersebut masih dalam perancangan dan identiti pelabur belum dapat didedahkan buat masa ini.
Menurutnya, perkara itu memerlukan penelitian kerana melibatkan syarikat antarabangsa serta kepentingan berkaitan pasaran saham.
“Memang dalam rangka perancangan ada cadangan untuk melabur dalam pusat data pintar.
“Bagaimanapun, kita belum dapat menyebut nama pelabur kerana melibatkan syarikat antarabangsa besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media berhubung cadangan pelaburan bernilai puluhan bilion ringgit yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari menegaskan Kerajaan Sarawak akan terus menggunakan kuasa imigresennya bagi mengawal kemasukan individu dari luar ke negeri ini.
Katanya, kuasa tersebut membolehkan kerajaan negeri meneliti tujuan kemasukan seseorang, sama ada bagi urusan ekonomi, pekerjaan atau tujuan lain.
“Kita mempunyai kuasa imigresen. Apabila seseorang datang, kita perlu mengetahui tujuan kemasukan mereka.
“Sama ada untuk tujuan ekonomi atau sebagai pekerja asing, semuanya perlu dikawal selia,” jelasnya.
Beliau menegaskan pendirian Kerajaan Sarawak berhubung kawalan imigresen kekal bagi memastikan setiap kemasukan tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan. – NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
