KUCHING: Rusia bersedia bekerjasama dengan Sarawak dalam pembangunan industri aeroangkasa, termasuk perkongsian kepakaran membina kemudahan pelancaran roket dan penghasilan satelit.
Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov berkata, Sarawak mempunyai lokasi yang berpotensi untuk pembangunan pusat pelancaran roket, namun usaha itu memerlukan kemudahan sokongan, kepakaran teknikal dan tenaga kerja tempatan yang terlatih.
“Saya berharap kerjasama ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak kerana kami dapat berkongsi pengalaman dalam pembinaan tapak pelancaran roket.
“Kami juga bersedia bekerjasama dalam penghasilan dan pembinaan satelit serta pembangunan kapasiti,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.
Tambah Naiyl, kerjasama itu juga boleh diperluas dengan Universiti I-CATS, khususnya dalam bidang pendidikan dan latihan berkaitan industri aeroangkasa.
“Kami bersedia menawarkan peluang kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di Rusia dan berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Universiti I-CATS bagi mengenal pasti peluang kerjasama dalam pembangunan kapasiti.
“Kami mempunyai pengalaman bekerjasama dengan UniKL MIAD dan berharap kerjasama seumpama itu dapat diperluas ke Universiti ICATS atau universiti lain,” ujar beliau.
Justeru, Latypov berkata, perbincangan lanjut antara pakar kedua-dua negara perlu diadakan bagi memastikan cadangan kerjasama yang dibincangkan dapat diterjemahkan kepada tindakan susulan. – UKAS
