KUCHING: Sarawak menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam pembangunan modul pendidikan alam sekitar bagi meningkatkan pengetahuan dan pengalaman praktikal dalam kalangan pelajar.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, modul itu perlu menggabungkan perspektif antarabangsa dengan pengetahuan alam sekitar tempatan.
“Perkongsian pengetahuan dan pengalaman dapat menyediakan sumber praktikal kepada pendidik, sekali gus menghubungkan pengalaman antarabangsa dengan keperluan alam sekitar tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sempena Majlis Pelancaran Persidangan Pendidikan Alam Sekitar (EEC) 2026, di sini, hari ini.
Katanya, delegasi antarabangsa, institusi pendidikan dan agensi berkaitan digalakkan menyumbangkan kepakaran bagi menjayakan pembangunan modul berkenaan, termasuk melalui penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan.
“Bagaimanapun, teknologi tidak dapat menggantikan pengalaman secara langsung untuk meneroka dan memahami alam semula jadi,” tambahnya.
Menurut Awang Tengah, kerjasama antarabangsa dalam pendidikan alam sekitar juga penting bagi meningkatkan pemahaman terhadap isu rentas sempadan, termasuk jerebu yang memberi kesan kepada Sarawak.
Katanya, masalah itu memerlukan pendekatan bersama kerana pencemaran yang merentasi sempadan negara turut memberi kesan kepada kawasan yang menerima tiupan angin dari luar.
Justeru, pembangunan modul pendidikan alam sekitar diharap dapat membantu generasi muda memahami cabaran alam sekitar dan kepentingan kerjasama dalam mencari penyelesaian yang berkesan.
Beliau berharap persidangan itu menjadi platform untuk memperluaskan perkongsian kepakaran dan membentuk kerjasama berterusan dalam pendidikan serta pemuliharaan alam sekitar. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI
