LAWAS: Kawasan hutan simpan di Kayangeran di sini, diluluskan dijadikan hutan ameniti pertama di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, beliau meluluskan status kawasan hutan seluas 271.18 hektar di itu dalam memperkasakan usaha Kerajaan Sarawak memastikan kelestarian alam sentiasa dijaga.
Katanya, status ini juga bertujuan memberi hala tuju jelas kepada pengurusan kawasan Kayangeran sebagai pusat pendidikan, penyelidikan, rekreasi dan pemuliharaan alam sekitar serta selaras pembangunan kompleks Kayangeran dan perancangan pembangunan taman hutan bandar.
“Sebagai inisiatif yang pertama seumpama ini di Sarawak, saya berharap Kayangeran ini akan menjadi contoh pengurusan kawasan hutan yang mengimbangi keperluan pemuliharaan dengan manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Terbuka dan Majlis Perasmian Kompleks Kayangeran Hearth Of Borneo(HOB) di sini, baru-baru ini.
Awang Tengah berkata, kejayaan Kayangeran akan bergantung kepada perancangan teliti, pengurusan berkesan serta kerjasama berterusan semua pihak.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Tetap MUDeNR Sarawak Datu Haji Abdullah Julaihi, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad.
