Manfaatkan Khazanah Borneo demi kesejahteraan rakyat

KUCHING: Kekayaan sumber semula jadi dan biodiversiti di Pulau Borneo perlu dimanfaatkan secara bijak berlandaskan ilmu serta ajaran al-Quran bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat dan membasmi kemiskinan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Borneo mempunyai khazanah alam yang amat bernilai dan berpotensi menjadi pemangkin pembangunan ekonomi serantau.

Menurutnya, sumber tersebut merupakan anugerah Allah SWT yang perlu dipelihara serta dimanfaatkan untuk kesejahteraan seluruh penduduk tanpa mengira agama dan latar belakang.

“Kalau kita dapat mengangkat kedudukan mereka keluar daripada kemiskinan, maka kita telah dapat menunaikan tanggungjawab untuk umat manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Majlis Tilawah al-Quran Se-Borneo (MTQBB) 2026 di Dewan Kompleks Islam, di sini, malam ini.

Abang Johari berkata, penguasaan ilmu berteraskan budaya Iqra’ amat penting bagi membolehkan umat Islam meneroka potensi sumber alam dan membangunkan ekonomi secara mampan.

Mengambil contoh Sarawak, beliau berkata, kekayaan sumber air dan sungai membolehkan negeri ini menjana tenaga elektrik yang bukan sahaja memenuhi keperluan domestik, malah menyumbang kepada pembangunan ekonomi serantau.

Katanya, pembangunan tenaga berkenaan turut menyokong usaha Sarawak memperkukuhkan kerjasama melalui Grid Tenaga ASEAN, termasuk membekalkan tenaga ke Kalimantan, Singapura, Semenanjung Malaysia dan negara jiran.

Beliau turut menggesa masyarakat Islam di Borneo terus memperkukuh perpaduan dan kerjasama meskipun dipisahkan oleh sempadan negara.

“Tauhid kita satu, dan dengan pegangan tauhid ini, kita sebenarnya adalah satu,” katanya.

Beliau sehubungan itu berharap semangat persaudaraan masyarakat Islam di Sarawak, Sabah, Kalimantan dan Brunei Darussalam diperkasa bagi membangunkan Borneo sebagai wilayah yang aman, makmur serta mampu bersaing dengan negara maju.- NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI