PUNB perkenal pembiayaan sehingga RM10 juta Januari 2027

KUCHING: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) merancang memperkenalkan skim pembiayaan baharu, “PROSPER GROW PLUS” pada Januari 2027 dengan tawaran pembiayaan antara RM1 juta hingga RM10 juta.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Rastam Mohd Isa berkata, skim tersebut bertujuan membantu syarikat Bumiputera yang sedang berkembang untuk meneroka sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.

Menurutnya, skim berkenaan menawarkan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun dengan kadar keuntungan rata serendah 3.5 peratus setahun.

“Skim ini direka untuk melengkapkan usahawan dengan dana menaik taraf peralatan berteknologi tinggi, automasi serta modal pelaksanaan kontrak berskala besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada majlis perasmian Program Jaringan Usahawan Negeri Sarawak 2026 di Hotel Sheraton Kuching, di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Timbalan Premier Sarawak juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Rastam berkata, Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2027 telah meningkatkan peruntukan pembiayaan keseluruhan PUNB kepada RM500 juta bagi memperkukuhkan pembangunan usahawan Bumiputera.

“Skim PROSPER GROW sedia ada menawarkan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM1 juta.

“Manakala PROSPER GROW PLUS dirancang untuk membantu syarikat berkembang ke peringkat lebih tinggi,”jelasnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan sejak memulakan operasi di Sarawak pada 1994 hingga 30 September 2026, PUNB telah membantu membangunkan seramai 354 usahawan dan perniagaan Bumiputera di lebih 20 bandar dan pekan seluruh negeri.

Daripada jumlah tersebut, seramai 157 usahawan atau kira-kira 44 peratus merupakan usahawan wanita, sekali gus mencerminkan komitmen PUNB dalam memperkasakan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan.

Tambahnya, PUNB turut memperkukuhkan pembangunan vendor tempatan menerusi kerjasama strategik dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) yang dimeterai pada 2025.

“Langkah ini sekali gus membuka lebih banyak peluang dalam sektor tenaga dan infrastruktur negeri,”ujarnya. -NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI