LUNDU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N3 Tanjong Datu mengukuhkan kesiapsiagaan jentera parti dengan mengadakan Mesyuarat Persiapan Jentera Pilihan Raya Umum (PRU DUN) Sarawak ke-13.
Ketua Cawangan Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan mempengerusikan mesyuarat itu di Dewan Serbaguna Mahligai Gading, di sini, semalam.
Mesyuarat bertujuan mengukuhkan kesiapsiagaan jentera parti di segenap peringkat itu dihadiri oleh ahli jawatankuasa cawangan badan induk, wanita, pemuda, ketua ranting serta wakil Belia.
Fokus utama mesyuarat termasuk menunggu pengumuman rasmi tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijadual bermesyuarat pada 6 November ini.
Selain itu, perancangan dan persiapan dari segi logistik, kemudahan pergerakan jentera, susun atur operasi bilik gerakan, serta keperluan teknikal lapangan bagi memastikan kecekapan perjalanan kempen di kawasan Tanjong Datu.
Selain itu mesyuarat itu juga membincangkan persediaan menghantar perwakilan ke Konvesyen Parti PBB Zon Selatan yang akan diadakan pada 15 November ini.
