350 penerima Bukit Saban terima geran hak milik tanah

SPAOH: Seramai 350 penerima di kawasan Bukit Saban menerima Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS) pada majlis penyerahan di Dewan Masyarakat Spaoh, di sini, hari ini.

Penyerahan itu disempurnakan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai dalam program anjuran Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Betong.

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak mengiktiraf hak pemilikan tanah Bumiputera, khususnya tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), menerusi pengeluaran geran hak milik yang sah dan berdaftar.

Pemilikan geran tersebut memberikan kepastian undang-undang yang lebih jelas kepada pemilik tanah berbanding kawasan NCR yang belum didaftarkan secara rasmi.

Menurut JTS, sebanyak 17 kawasan direkodkan di bawah projek perintis pengukuran menggunakan teknologi Sistem Kedudukan Sejagat Pegangan Tangan.

Projek itu melibatkan keluasan 578.2 hektar dengan 549 lot berjaya diukur, manakala 303 lot daripadanya dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTS.

Sementara itu, menerusi projek perintis Tiket Pendudukan Jubilee sebanyak 152 lot dikenal pasti untuk tujuan pengukuran, dengan 77 lot meliputi keluasan 101.4 hektar berjaya didaftarkan dan layak menerima surat hak milik.

Bagi kawasan Bukit Saban, sebanyak 488 lot berjaya disukat menerusi Program Inisiatif Baharu NCR, melibatkan keluasan keseluruhan yang dianggarkan 929.7 hektar.

Daripada jumlah itu, seramai 350 penerima menerima geran hak milik tanah yang melibatkan kawasan seluas lebih 2,297 ekar.

Antara kawasan yang terlibat dalam penyerahan berkenaan ialah Ulu Bayor Rimbas Debak, Ulu Rimbas Asal dan Baru, Kawasan Inar Debak, Ulu Paku Spaoh serta Kampung Hulu Spaoh.

Turut hadir Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Moris Nayup, Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh, serta pemimpin masyarakat dan penerima geran tanah.

Inisiatif itu selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak mempercepat pengukuran tanah NCR, meningkatkan kepastian pemilikan tanah serta menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar.