Keselamatan bayi, kanak-kanak mesti diutamakan – Fatimah

KUCHING: Keselamatan dan perlindungan kanak-kanak menjadi keutamaan susulan penemuan seorang bayi lelaki yang masih bernyawa dalam keadaan tertimbus berhampiran sebuah rumah sewa di Jalan Airport, Kapit, baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kejadian itu amat menyedihkan dan membimbangkan keselamatan bayi.

“Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup, dilindungi dan membesar dalam persekitaran selamat.

“Tiada keadaan boleh dijadikan alasan untuk membiarkan bayi atau kanak-kanak terdedah kepada bahaya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau turut menghargai tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan bayi berkenaan serta berharap mangsa menerima rawatan terbaik.

Dalam aspek pencegahan, Fatimah berkata, Jawatankuasa Sehenti Kehamilan Remaja (OSTPC) berjaya membantu mengurangkan kes kehamilan remaja daripada 3,401 kes pada 2014 kepada 1,770 kes pada 2025.

Sehubungan itu, beliau menggesa wanita dan ibu yang menghadapi kehamilan tidak dirancang, tekanan emosi atau masalah keluarga supaya mendapatkan bantuan daripada agensi kesihatan dan kebajikan.

“Mendapatkan bantuan adalah pilihan lebih baik daripada menghadapi krisis seorang diri sehingga keselamatan ibu atau bayi terancam,” tegasnya.

Fatimah turut menggesa masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat atau identiti pihak terlibat bagi menjaga privasi serta mengelakkan gangguan terhadap siasatan.

Orang ramai yang mengetahui kes pengabaian atau penderaan kanak-kanak boleh menghubungi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999.