PULAU BRUIT: Pembukaan Jambatan Batang Paloh amat bermakna kepada penduduk Pulau Bruit khasnya dan kawasan sekitar selepas sekian lama menantikan kemudahan perhubungan darat yang lebih baik.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, pembukaan jambatan itu bukan sahaja merealisasikan impian penduduk, malah bakal membawa perubahan besar terhadap corak kehidupan dan pembangunan sosioekonomi masyarakat di kawasan berkenaan.
Katanya, kemudahan tersebut membolehkan penduduk merancang perjalanan dengan lebih mudah, selain menjimatkan masa dan kos pengangkutan.
“Hari ini merupakan hari l sangat istimewa dan bermakna, serta detik yang sekian lama dinanti-nantikan oleh penduduk di kawasan ini.
“Dengan pembukaan Jambatan Batang Paloh, ia akan mengubah corak kehidupan masyarakat kerana mereka kini dapat merancang perjalanan dengan lebih mudah, menjimatkan kos dan masa.
“Kemudahan perhubungan yang semakin baik ini sudah tentu akan membantu meningkatkan taraf hidup serta membawa lebih banyak kemajuan dan kemakmuran kepada penduduk,” katanya ketika ketika diminta mengulas praperasmian Jambatan Batang Paloh, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Ahmad Johnie berkata, penantian penduduk selama bertahun-tahun akhirnya membuahkan hasil dan menjadi bukti bahawa kesabaran mereka tidak sia-sia.
Katanya, pembukaan jambatan berkenaan juga membuktikan komitmen Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menunaikan janji pembangunan kepada rakyat, khususnya masyarakat luar bandar.
“Suatu ketika dahulu, terdapat pihak yang skeptikal sama ada projek Jambatan Batang Paloh ini mampu direalisasikan.
“Namun, dengan pembukaannya hari ini, segala persepsi dan keraguan tersebut akhirnya terjawab.
“Inilah bukti bahawa Kerajaan GPS sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan memastikan janji yang dibuat dapat ditunaikan,” tegasnya.
Beliau bagi pihak seluruh penduduk kawasan berkenaan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas usaha merealisasikan projek tersebut.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Douglas Uggah kerana hadir menyempurnakan pembukaan jambatan berkenaan yang disifatkan sebagai satu lagi pencapaian penting dalam agenda pembangunan luar bandar Sarawak.
