KUCHING: Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) kini mempunyai empat kompleks cawangan di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu sejak penubuhannya pada 1978.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) merangkap Pengerusi PERYATIM Sarawak, Datuk Misnu Taha berkata, PERYATIM berperanan menyediakan penempatan khas serta membangunkan sahsiah dan pendidikan anak-anak yatim di negeri ini.
“Matlamat kita adalah menjadikan PERYATIM sebagai sebuah badan pembangunan anak-anak PERYATIM Sarawak supaya mereka menjadi insan berilmu dan mempunyai masa depan yang lebih baik,” katanya pada ucapan aluan sempena Jamuan Amal Makan Malam AD Interact International Sdn Bhd dan PERYATIM, di sini, malam ini.
Majlis tersebut disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, PERYATIM turut menyediakan bantuan pendidikan melalui tabung pendidikan bagi membantu anak-anak yatim meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Alhamdulillah, terdapat anak-anak yatim yang berjaya melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat sarjana dan doktor falsafah, selain ada yang bergelar jurutera serta pensyarah,” tambahnya.
Misnu berkata, sokongan dan sumbangan pelbagai pihak amat diperlukan bagi memastikan kelestarian operasi serta program pembangunan anak-anak PERYATIM di seluruh Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada AD Interact International Sdn Bhd atas penganjuran jamuan amal berkenaan serta semua pihak yang terus memberikan perhatian dan sokongan kepada anak-anak yatim.
