Anak PERYATIM mampu jadi tenaga kerja berteknologi tinggi

KUCHING: Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) berjaya melahirkan penghuninya sehingga ke peringkat profesional termasuk memperoleh kelulusan doktor falsafah (PhD).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pencapaian itu membuktikan anak-anak yang mendapat bimbingan dan sokongan di PERYATIM berupaya mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan serta kerjaya.

“Ramai anak-anak yang pernah mendapat bimbingan di PERYATIM kini berjaya dalam bidang masing-masing termasuk mencapai tahap pendidikan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jamuan Amal Makan Malam AD Interact International Sdn Bhd dan PERYATIM, di sini, malam ini.

Katanya, ada dalam kalangan mereka yang berjaya menamatkan pengajian di universiti malah melanjutkan pendidikan sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Menurutnya, kejayaan itu turut dapat dilihat menerusi penglibatan mereka dalam sektor pekerjaan termasuk memegang tanggungjawab penting dalam syarikat kejuruteraan.

Abang Johari berkata, sehubungan itu Kerajaan Sarawak turut menyediakan sokongan kepada golongan memerlukan menerusi peruntukan RM46 juta kepada Jabatan Kebajikan pada tahun 2027.

“Keupayaan yang kita mahukan ialah anak-anak PERYATIM ini menjadi tenaga kerja yang dapat membantu memenuhi keperluan pembangunan Sarawak termasuk dalam industri berteknologi tinggi,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, Abang Johari mengumumkan sumbangan RM50,000 kepada PERYATIM bagi membantu meneruskan usaha kebajikan pertubuhan itu.