Cawangan Sebuyau perkemas jentera parti hadapi PRU DUN Sarawak

SEBUYAU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Sebuyau memperkemas persiapan jentera parti di peringkat cawangan dan 38 ranting bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU DUN) Sarawak ke-13.

Ketua Parti PBB Cawangan Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, persiapan awal itu melibatkan penyelarasan gerak kerja, kemas kini carta organisasi serta pembahagian tugas jawatankuasa di semua peringkat.

“Penyelarasan ini penting bagi memastikan setiap jawatankuasa memahami tanggungjawab masing-masing dalam menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya semasa berucap pada Taklimat dan Penyelarasan Gerak Kerja Parti PBB N.27 Sebuyau di sini, hari ini.

Perkara itu dibincangkan menerusi satu perjumpaan bersama jentera parti bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.27 Sebuyau yang turut membincangkan perkembangan semasa dan hal ehwal organisasi, katanya.

Perjumpaan ini juga memberi ruang kepada jentera parti untuk berkongsi pandangan serta menyampaikan maklum balas berkaitan isu dan keperluan setempat, tambahnya.

Pertemuan itu turut menjadi medium penyelarasan komunikasi antara kepimpinan cawangan dengan jentera parti bagi memastikan maklumat disampaikan dengan jelas kepada peringkat akar umbi.