KUCHING: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) menyerahkan sumbangan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena Regata Sarawak 2026.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Anuar Ismail berkata antaranya ialah penyerahan sumbangan barangan keperluan asas kepada Lembaga Pelawat Asrama Akhlak Kuching dan sumbangan kelengkapan kepada Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Bintawa.
“BPHB turut menyokong pengusaha perahu penambang tempatan menerusi sumbangan bagi membantu kelangsungan mata pencarian mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Simbolik Sumbangan dan Kolaborasi Program CSR sempena Regata Sarawak 2026, di Tebingan Kuching, hari ini.
Anuar berkata, sumbangan itu juga bagi menghargai peranan pengangkutan air tradisional sebagai sebahagian daripada warisan kehidupan masyarakat Sarawak.
Selain itu, pihaknya juga turut menjalin kerjasama dengan Hikayat Sulaman Enterprise bagi menyokong kelestarian seni sulaman kain keringkam, warisan tekstil tradisional wanita Sarawak, menaja penganjuran Perauk Sarong di sini serta menyokong Pickleball Fiesta 2026 anjuran MAKSAK Wanita Sarawak.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri yang juga Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Dato Baduyah Bujang serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
