LINGGA: Sarawak semakin memperkukuh keterjaminan makanan apabila Projek Tanaman Padi FELCRA di Stumbin dijangka memulakan penanaman benih padi sah varieti MR297 pada Disember ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, beliau berpuas hati dengan kemajuan projek seluas 125 hektar itu yang menjadi usaha mengurangkan kebergantungan Sarawak terhadap beras import.
“Kita tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada bekalan beras dari luar,” katanya ketika lawatan kerja ke tapak projek berkenaan, kelmarin.
Projek bernilai RM50 juta itu menerima pembiayaan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), manakala tanah disediakan kerajaan negeri.
Fasa pertama seluas 41.2 hektar telah siap, fasa kedua 32.2 hektar sedang dibangunkan dan fasa ketiga 51.6 hektar dirancang pada 2027.
Rundi berkata, pembangunan itu menyokong sasaran kerajaan negeri meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras kepada 60 peratus menjelang 2030.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, KKDW bersedia meneliti permohonan peruntukan tambahan bagi memperluas kawasan penanaman padi di Stumbin, tertakluk kepada penyelarasan dengan Kerajaan Sarawak.
Beliau berkata, FELCRA turut mengemukakan keperluan tambahan tanah bersebelahan, pembinaan kilang pemprosesan benih, kemudahan penyimpanan sejuk serta sokongan pemasaran dan pengedaran bagi memperkukuh operasi projek.
Rubiah menegaskan, pembangunan Stumbin
berpotensi membentuk rantaian industri padi yang lebih lengkap dan membuka peluang pekerjaan.
