KUCHING: Keperluan meneruskan agenda pembangunan yang masih belum selesai di Dalat menjadi antara pertimbangan Dato Sri Fatimah Abdullah untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat sekiranya mendapat mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat itu berkata, meskipun sebelum ini beberapa kali menyuarakan hasrat untuk bersara daripada arena politik atas faktor usia, beliau bersedia mengetepikan hasrat tersebut sekiranya masih diperlukan rakyat dan kepimpinan parti.
“Kesediaan itu selaras dengan prinsip perjuangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menuntut setiap pemimpin terus berkorban apabila diberikan kepercayaan dan amanah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, SAC Kumarasan Muniandy di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB berkata, pemimpin masyarakat di kawasan Dalat turut menyuarakan hasrat supaya beliau meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat.
Bagaimanapun, Fatimah menegaskan keputusan untuk kembali bertanding bukan bergantung pada kehendak peribadi, sebaliknya tertakluk kepada sokongan rakyat serta kepercayaan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti PBB.
Fatimah turut menegaskan komitmennya untuk melaksanakan setiap amanah dengan sebaik mungkin, selain menyerahkan kepada rakyat untuk menilai prestasi dan rekod perkhidmatannya sepanjang menjadi wakil rakyat.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, Fatimah mempertahankan kerusi DUN Dalat dengan majoriti 6,625 undi selepas memperoleh 7,085 undi, menewaskan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Salleh Mahali yang meraih 460 undi.
