Tadbir urus baik sokong agenda pembangunan

KUCHING: Agenda pembangunan Kerajaan Sarawak harus sepadan dengan institusi yang boleh mengurus sumber dengan bijak, mengamal tanggungjawab berkanun dan komited kepada rakyat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pentadbiran yang mengamalkan budaya integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik akan menyokong kemajuan bermakna.

Hakikatnya, Kerajaan Sarawak berhasrat membina institusi yang bukan sahaja cekap dalam melaksanakan tanggungjawab tetapi juga amanah, telus dan bertanggungjawab, katanya merasmikan Program Kepimpinan Tadbir Urus Wilayah Sarawak 2026 di sini hari ini.

Teks ucapan Premier disampaikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Program empat hari itu dianjurkan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) dengan kerjasama Sarawak Centre of Performance Excellent Sdn. Bhd. (SCOPE) dan International Anti-Corruption Academy (IACA).

Abang Johari berkata, sejak tahun 2019 dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Sarawak mempunyai 208 Pegawai Integriti Bertauliah (CeIOS) yang berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.

CeIOS itu ditempatkan di kementerian, jabatan, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan dengan memain peranan menjaga tadbir urus, mengukuh integriti, mengesan dan pengesahan, mengurus aduan, pengaduan dan disiplin, katanya.

Mengenai pemeterian Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UNIONS dan IACA pada majlis itu, beliau berkata, ia menyediakan asas untuk meneroka peluang kerjasama pada masa hadapan, khususnya dalam pembangunan profesional dalam bidang integriti serta pencegahan rasuah.

MoU itu juga, katanya, memberi peluang kepada penjawat awam Sarawak khususnya CeIO Sarawak bagi mengikuti Regional Summer Academy anjuran IACA di negara lain.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudmans), Datuk Murshid Diraja, Dr Juanda Jaya terdahulu berkata, program itu diadaptasi daripada signature programme IACA dengan pengisian yang disesuaikan mengikut konteks dan keperluan dalam perkhidmatan awam Sarawak.