KOTA SAMARAHAN: Graduan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) perlu mencipta pencapaian baharu yang lebih besar dan bermakna demi masa depan negeri serta negara.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Canselor UNIMAS, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, generasi muda perlu memiliki ilmu, integriti, daya cipta dan jati diri yang kukuh.
“Saudara dan saudari merupakan pewaris kepada pencapaian generasi terdahulu, namun mempunyai tanggungjawab untuk mencipta pencapaian baharu yang lebih besar dan bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Istiadat Konvokesyen Ke-30 UNIMAS di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), di sini, hari ini.
Sidang pertama itu turut dihadiri isteri TYT, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Ahli Jawatankuasa Eksekutif UNIMAS, Timbalan-Timbalan Naib Canselor serta Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Universiti.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur moden, pelaburan besar dan kekayaan sumber semula jadi memerlukan sokongan modal insan berkualiti bagi memastikan segala kelebihan dapat dimanfaatkan secara optimum dan berkekalan.
Justeru, pendidikan tinggi perlu terus menjadi antara tonggak utama pembangunan negeri dan negara dalam melahirkan generasi berilmu serta berintegriti.
“Pembangunan yang dicapai perlu disokong oleh modal insan yang berdaya cipta dan mempunyai jati diri kukuh,” tambahnya.
Istiadat Konvokesyen Ke-30 UNIMAS berlangsung selama empat hari bermula 2 hingga 5 November ini melibatkan lapan sidang dengan penyertaan seramai 4,428 graduan daripada pelbagai peringkat pengajian.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam turut menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sistem Maklumat Geografi dan Penderiaan Jarak Jauh.
Penganugerahan itu melengkapkan pengajian beliau di peringkat kedoktoran dalam bidang pengkhususan berkenaan.
