Banjir: Sarawak perluaskan pangkalan operasi hadapan

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dari peringkat bahagian hingga ke daerah termasuk agensi-agensi kerajaan berkaitan digesa bersiap siaga menghadapi banjir.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, hujan berpanjangan yang kebiasaannya bermula dari Januari hingga Februari setiap tahun dijangka sekali lagi mengundang fenomena alam itu.

“Kita minta rakyat bersedia dan kita juga meminta kawasan pedalaman melalui Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CERT) juga bersiap siaga terutama di kawasan jauh.

“Semua jabatan juga bersedia memberi sokongan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyediakan makanan dan kelengkapan bagi memastikan mangsa selesa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melawat PPS Dewan Masyarakat Stapok, Batu Kawa petang semalam.

Uggah turut menasihati mangsa banjir agar segera berpindah apabila diarahkan demi kebaikan dan keselamatan diri.

Tambahnya, penduduk kawasan rendah juga diarahkan bersedia untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku disebabkan cuaca yang kurang menentu.

Mengulas mengenai Pangkalan Operasi Hadapan (FOB), Uggah menjelaskan, Kerajaan Sarawak telah menyediakan pangkalan bekalan utama di Kota Samarahan dan beberapa pangkalan mini di beberapa lokasi.

Sebagai persiapan rapi, kerajaan katanya juga mempunyai pembekal di setiap pangkalan di seluruh negeri supaya barangan keperluan dapat dihantar segera apabila diperlukan.

“Kita belajar daripada pengalaman tahun lalu, ketika banjir besar di Bintulu sehingga kita berdepan masalah menghantar tilam dan barangan keperluan lain.

“Namun, kita bersedia dan telah menasihati agar pembekal berada di beberapa lokasi termasuk luar bandar di Sarawak,” jelasnya lagi.

Setakat ini, dua PPS dibuka di Kuching susulan banjir iaitu PPS Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru dan PPS Dewan Masyarakat Stapok. – UKAS