Perkasakan peranan wanita, diberi peluang buat keputusan dalam Kerajaan Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan bekerjasama padu dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kebahagiaan dan kesejahteraan wanita di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, berdasarkan Indeks Kebahagiaan Rakyat tahun 2024, wanita di Sarawak merekodkan skor lebih bahagia berbanding lelaki, iaitu 7.54 berbanding 7.52.

Katanya, wanita yang sejahtera dari segi fizikal, mental dan emosi akan membentuk institusi keluarga yang lebih kukuh serta masyarakat yang lebih berdaya tahan.

“Usaha ini memerlukan kerjasama bersepadu antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, agensi pelaksana serta masyarakat sivil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo di Hotel Pullman, di sini hari ini.

Tema sambutan ialah ‘Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara’.

Selain itu, Abang Johari berkata kepentingan meningkatkan penglibatan wanita dalam kepimpinan dan pembuatan dasar turut menjadi tumpuan kerajaan.

Katanya, Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan pada Disember 2025, wanita yang memegang jawatan pembuat keputusan dan pengurusan tertinggi dalam agensi awam berjumlah 39.3 peratus manakala pada 2024, ahli lembaga pengarah bagi 100 Syarikat Tersenarai Awam (PLC) adalah 33 peratus wanita.

“Kita memberi peluang kepada wanita untuk membuat keputusan dalam Kerajaan Sarawak. Sebagai contoh, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) mempumyai pengurus besarnya iaitu wanita,” katanya.

Tambahnya, dalam agensi pelabuhan Sarawak turut diterajui seorang wanita sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan banyak lagi tempat-tempat lain.

“Ini bermakna kita memberi peluang kepada wanita untuk membuat keputusan, dasar sebagainya dalam usaha memperkasakan golongan tersebut,” katanya.

Hadir sama Timbalan Premier,
Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.