KABONG: Kerjasama erat antara agensi kerajaan atau pertubuhan dengan wakil rakyat sangat penting untuk pembangunan di kawasan Kabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, beliau akan berusaha membantu keperluan penduduk demi meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
“Semoga perancangan yang dirancang oleh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kabong akan menjadi kenyataan,” katanya pada sesi randau bersama pengurusan PNK Kabong di sini.
Sambil menyambut baik usaha yang dirancang oleh PNK Kabong, beliau menegaskan, ia pasti akan membantu membangunkan sosioekonomi terutama nelayan di kawasan berkenaan.
Sebagai wakil rakyat, katanya, beliau akan membantu apa sahaja keperluan demi memajukan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Pengurus PNK Kabong, Sahariya Tahot yang turut berucap pada majlis itu berkata, PNK Kabong merancang melaksanakan lima projek untuk membangunkan sosioekonomi penduduk mulai tahun depan.
Lima projek terbabit ialah pembinaan Stesen Minyak PNK Kabong, naik taraf Yellow Cafe dan projek ternakan ikan air tawar, katanya.
Menurut beliau, selain itu PNK juga akan menyelesaikan isu tanah Tanjung Kembang (AVTC) serta membina tempat penginapan keluarga (inap desa) dan tempat makan baharu.
Sementara itu, Chee Kadir turut mengadakan lawatan ke bengkel pengusaha pembuat bot gentian kaca (fiber) di Kampung Sungai Benang dan menyumbang peruntukan berjumlah RM50,000 bagi kerja awalan pembinaan bengkel bot berkenaan.