1,797 penerima surat hak milik tanah NCR DUN Tasik Biru

BAU: Kerajaan Sarawak menyerahkan keseluruhan 2,109 surat hak milik Tanah Adat Bumiputera (NCR) Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru, di sini, hari ini.

Penyerahan surat hak milik dilakukan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Majlis Perasmian Pusat Kebudayaan Bidayuh (BCC) di sini.

Pada majlis ini, sebanyak 1,316 lot tanah Seksyen 18 (NCR Inisiatif Baharu) diserahkan kepada seramai 1,142 penerima dari kawasan Apar, Tabong, Segong, Tanjong Poting, Grogo, Sibuluh dan Banan.

“Sebanyak 793 lot tanah NCR bagi kawasan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) turut diserahkan kepada 655 penerima,”menurut kenyataan media Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak Kawasan Tasik Biru.

Penerima terbabit melibatkan kawasan Jagoi OPE (Estet Kelapa Sawit) dan Bratak OPE.

Di samping itu, Kerajaan Sarawak juga menyerahkan Warta Rizab Komunal Bumiputera bagi Kawasan Banan (KampungGrogo/Sibuluh) seluas 121 hektar dan Kawasan Senggi-Poak, Jalan Batu Kawa, Tondong (Kampung Atas) seluas 9.7 hektar.

Kerajaan Sarawak turut menegaskan pengukuran dan pewartaan tanah NCR bukanlah satu bentuk perampasan tanah, sebaliknya untuk memastikan tanah adat diiktiraf, dilindungi dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Manakala, melalui pengeluaran Surat Hak Milik Seksyen 18, pemilik tanah turut menikmati keistimewaan seperti pengecualian premium, tiada cukai tanah dan hak milik kekal.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh
jaminan pemilikan tanah rakyat serta meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi komuniti Bumiputera di seluruh negeri.