SAMARAHAN: Seramai 1,078 graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak menerima ijazah dan diploma pada Istiadat Konvokesyen Ke-104 UiTM di Kampus Samarahan, di sini, hari ini.
Konvokesyen selama dua hari bermula hari ini membabitkan sidang pertama sebelah pagi dengan seramai 273 graduan iaitu dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi serta Akademi Pengajian Islam Kontemporari.
Ini diikuti sidang kedua sebelah petang membabitkan seramai 258 graduan dari Fakulti Perakaunan, Fakulti Sains Gunaan, Kolej Pengajian Alam Bina/ Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur serta Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan.
Manakala, sidang ketiga pagi esok membabitkan graduan selebihnya dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.
Sementara itu Pro-Canselor UiTM, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata Laporan Kadar Bekerja Graduan UiTM 2025 mencatatkan 94.5 peratus manakala Kadar Kebolehpasaran Graduan berada pada tahap 94.6 peratus.
“Ini sekali gus mengangkat martabat UiTM apabila diiktiraf sebagai Universiti Pilihan Majikan oleh Talentbank,” katanya ketika sidang pertama instiadat konvokesyen itu hari ini.
Katanya, UiTM juga terus memperkukuhkan kebolehpasaran graduan melalui jalinan strategik dengan industri dan agensi terkemuka serta kerjasama erat dengan Kerajaan Sarawak.
“Kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Sarawak, serta universiti luar negara seperti National Formosa University (NFU), Taiwan serta Universiti Muhamadiyah Surakarta, Indonesia,” tambahnya.
Katanya, sumbangan UiTM Cawangan Sarawak kepada Kerajaan Sarawak merangkumi pembangunan modal insan, penyelidikan berimpak tinggi , pemerkasaan inovasi melalui penganjuran Pertandingan Inovasi STEM Kota Samarahan (PinKS), dan keusahawanan, khidmat masyarakat, serta kerjasama strategik dengan yang menyokong aspirasi pembangunan negeri.
Hadir sama Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dr. Firdaus Abdullah, Pendaftar UiTM, Muhamad Nizam Noordin, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Professor Dr Yamin Yasin, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Madya Ts Chm, Dr Mohammad Isa Mohamadin, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Prof Madya Dr Saimi Bujang, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Prof Ir. Dr. Juferi Idris, Penolong Rektor Kampus Samarahan 2, Prof Madya Dr Abdul Razak Abdul Kadir dan Penolong Rektor Kampus, Dr Abdul Jabbar Abdullah.
