KUCHING: Kejohanan Cabaran Golf P194 Petra Jaya Ke-13 menyaksikan pasukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok muncul juara keseluruhan.
DUN Satok sekali gus membawa pulang Trofi cabaran Dato Sri Fadillah YusoF pada majlis penyampian hadian kejohanan itu di Kelab Golf Sarawak (KGS) di sini, hari ini.
Manakala, naib juara disandang pasukan DUN Tupong manakala pasukan DUN Samariang ketiga.
Bagi kategori Kejuaraan Individu “Nett” menyaksikan Kasim Gani dinobatkan sebagai juara manakala Mohammad Lukman Mustaffa muncul naib johan dan Ali Sujang mendapat tempat ketiga.
Kategori Kejuaraan Individu “Gross” pula menyaksikan Daniel Yeo Thian Chai muncul juara manakala Sim Geok Hock muncul naib juara dan Samsudin Mulok ketiga.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berharap jumlah pemain golf dalam golongan muda dipertingkatkan untuk kejohanan itu akan datang.
“Kita memerlukan pemain muda ini kerana banyak penaja yang boleh memberi tajaan kepada mereka untuk bermain golf dan menjadi wakil Sarawak,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga ADUN Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman dan Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman.
GAMBAR:UTUSAN SARAWAK
