KUCHING: Kerajaan mensasarkan kesemua jajaran Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak akan dibuka kepada orang awam sepenuhnya pada penghujung tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, projek itu kini mencapai kemajuan 98 peratus.
Sehingga ke hari ini, sebanyak 19 daripada 25 seksyen lebuh raya ini telah siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang awam.
“Manakala seksyen Bukit Bengunan di bawah Pakej Kontrak Kerja 04 dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung Disember ini.
“Sementara itu, lima seksyen iaitu seksyen Sarikei (WPC06), Tatau dan Bintulu (WPC10), Beluru dan sepanjang 34.5 kilometer seksyen Lambir (WPC11) akan siap sepenuhnya menjelang suku pertama 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Makan Malam Impian Jadi Realiti Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak (LPB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Richard Tajan serta tetamu lain turut hadir.
Bagi Kementerian Kerja Raya (KKR), katanya, pencapaian projek ini merupakan satu kejayaan semua pihak.
“Terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan kerabat keluarga kerana sudi mencemar duli bersama-sama rakyat Sarawak menyelusuri LPB Sarawak pada program Kembara Kenali Borneo pada November lalu,” ujarnya.
Ahli Parlimen Kapit itu juga menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak kerana melalui kepimpinan beliau, banyak projek pembangunan infrastruktur Kerajaan Persekutuan di Sarawak dapat dilaksanakan.
“Kejayaan demi kejayaan telah dikecapi oleh Sarawak kerana kemimpinan beliau yang tidak pernah lelah memperjuangkan hak-hak Sarawak di negara kita.
“Tidak boleh kita nafikan hakikat bahawa Premier Abang Jo dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memainkan peranan penting dalam hal ini. Dengan kestabilan politik di bawah kepimpinan beliau, banyak perkara dapat dilaksanakan dengan lancar dan berjaya,” kata beliau.
