Lima daerah PEMADAM ditubuh

KUCHING: Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Siburan, Sebuyau, Gedong, Lingga dan Pantu yang baharu telah ditubuhkan di Sarawak.

Menteri Belia dan Sukan Sarawak yang juga Pengerusi PEMADAM Negeri Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Hamzah berkata, penubuhan kelima itu melalui Mesyuarat Penubuhan Pemadam Daerah masing-masing.

“Kesemuanya telah selesai mengadakan Mesyuarat Penubuhan Pemadam Daerah masing-masing. Syabas dan tahniah kepada daerah Siburan, Sebuyau, Gedong, Lingga dan Pantu,” katanya selepas mesyuarat penyelarasan PEMADAM Negeri Sarawak di sini.

Abdul Karim berharap kerjasama daripada ahli Jawatankuasa Penyelaras PEMADAM Negeri untuk menyampaikan mesej kesedaran bahaya dadah kepada masyarakat tanpa mengira agama, bangsa, usia dan pekerjaan.

“Semuanya bermula dari rumah dan seterusnya di peringkat sekolah,” tambahnya.

Selain itu, katanya PEMADAM Cawangan Sarawak juga telah menyediakan anugerah tahun ini iaitu Biro PEMADAM Negeri Sarawak Paling Aktif kepada Biro Pendidikan Pencegahan di Sekolah, PEMADAM Daerah Paling Aktif (PEMADAM Daerah Mukah).

Selain itu Kelab PEMADAM Negeri Sarawak Paling Aktif (Kelab PEMADAM Universiti Putra Kampus Bintulu) dan Setiausaha PEMADAM Daerah Yang Paling Aktif Mengisi Eroses Pada Setiap Tahun (Setiausaha PEMADAM Daerah Sibu, Abu Bakar Yamin).