KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) akan mengadakan bengkel serta sesi libat urus bersama pengamal media di Sarawak bagi memudahkan penyaluran maklumat tepat berkaitan persediaan liputan pilihan raya.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, program berkenaan akan melibatkan semua pihak media termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan dan agensi media lain.
“Kita faham Sarawak luas dan kita memahami cabaran bagi sesetengah wartawan untuk sampai ke lokasi, mendapatkan maklumat barhubung calon-calon, keluasan kawasan DUN, pusat daerah mengundi, jumlah pengundi, penduduk, etnik dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi di sini, semalam.
Tambahnya, bengkel berkenaan akan dilaksanakan mengikut zon bermula dari Zon Selatan, Zon Tengah sehingga Zon Utara membolehkan pihak media mendapatkan maklumat yang diperlukan.
Beliau memberitahu, persiapan bersama media akan dibuat terlebih dahulu biarpun tarikh pilihan raya negeri belum diumumkan.
Sementara itu, Abdullah berkata, UKAS dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) memperkukuhkan kerjasama bagi merapatkan jurang informasi antara rakyat dengan Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, kerjasama tersebut penting khususnya dalam mendepani perkembangan digital yang semakin memainkan peranan dalam pelbagai urusan kerja dan penyampaian maklumat.
“Kerajaan negeri melalui UKAS dan RTM akan bekerjasama dalam banyak perkara. Sudah tentu dengan kehadiran digital dalam banyak urusan kerja kita, kita perlu meningkatkan perkara tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Ashwad Ismail memberitahu, UKAS dan RTM sentiasa bersama dalam pelbagai acara, program dan inisiatif, dan kerjasama tersebut akan terus diperkukuh.
Menurut beliau, perkembangan teknologi turut menjadi antara fokus RTM, khususnya dalam membentuk generasi muda yang mempunyai imaginasi dan azam untuk menguasai bidang teknologi.
